Nota “Jangan Kecam Saya” Ditemukan Bersama Mayat Bayi Dalam Tong Sampah Sanitasi

0
147
Foto: TVS

KOTA KINABALU, 23 Disember- Polis mengesahkan penemuan mayat bayi perempuan yang cukup sifat di dalam tong sampah sanitasi di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Kalsom Idris berkata polis menerima aduan daripada seorang penyelia syarikat pembersihan yang menemukan mayat bayi itu ketika menukar plastik tong sampah sanitasi pada kira-kira 9.40 malam.

“Hasil pemeriksaan, sepasukan polis yang diarahkan ke lokasi kejadian mendapati mayat bayi itu dibalut dengan tuala,”katanya.

Jelas Kalsom, turut ditemukan sebuah nota yang bertulis, “Saya meminta maaf dan meminta tolong mencari tempat sesuai untuk anak saya. Terima kasih pertolongan anda, jangan kecam saya. Saya pun tidak mahu ini terjadi”.

“Polis sedang menjalankan siasatan menerusi rakaman litar tertutup di kawasan kejadian selain membuat risikan untuk mengenal pasti suspek,”katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta berhubung dengan Inspektor Hatikah Ahmad@ Abd Ghani di talian 0168337243.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here