Nor Rahil Raihan Meninggal Dunia Terbabit Dalam Kemalangan

0
163
Foto: Kosmo

KLUANG – Adik Nor Rahil Raihan yang menghidap penyakit Hidrosefalus sejak dilahir kini sudah menghadap penciptanya selepas disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang malam tadi.

Ayahnya, Mohd Sharul Hassan, 38, berkata, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik yang berusia lima tahun itu tidak dapat diselamatkan selepas terlibat dalam kemalangan bersama ibunya Aisah Mohd Salleh, 34, ketika dalam perjalanan pulang daripada mengambil Nor Izzul Islam,8, daripada sekolah.

Katanya, akibat kemalangan itu, Rahil Raihan mengalami kecederaan sebelum mendapatkan rawatan di Zon Merah HEBHK.

“Selepas kira-kira lima jam bertarung nyawa, akhirnya Raihan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 malam tadi.

“Walaupun sedih dengan kejadian itu, namun redha serta sudah sampai masanya untuk menemui penciptanya dan tidak lagi menanggung kesakitan yang dihidapinya selama ini,”katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru dekat sini hari ini.

Menurut Mohd Sharul lagi, sebelum ini anak sulungnya Nor Iman Shah Mohd Sharul meninggal dunia ketika berusia 13 tahun selepas menghidap penyakit sawan pada tarikh sama tahun lepas.

“Jenazah Nor Rahil Raihan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu dekat sini hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.10 petang di Jalan Selar, Taman Ilham dekat sini.

Ujarnya, kejadian melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta Naza Ria dipandu Aisah Mohd Salleh yang membawa dua orang anaknya Nor Rahil Raihan,5, dan Nor Izzul Islam,8.

“Kejadian berlaku ketika Aisah bersama dua orang anaknya dari arah Kampung Paya ke kediamannya di Jalan Ilham 3.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, Aisah dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar kereta Proton Wira yang sedang parkir di tepi jalan seterusnya melanggar pagar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Bahrin lagi, Aisah dan dua orang anaknya kemudiannya dihantar ke HEBHK akibat kecederaan namun Nor Rahil Raihan disahkan meninggal dunia 8.45 malam akibat Pendarahan kronik dan kecederaan abdomen dalaman disebabkan oleh kemalangan motokar.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here