TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran kepada pergerakan Hizbollah supaya tidak memandang rendah keupayaan tentera Israel ketika kedua-dua belah pihak berbalas tembakan rentas sempadan, lapor agensi berita Anadolu semalam.
“Hizbollah membuat kesilapan besar tentang kita (tentera Israel) pada 2006 dan melakukannya sekali lagi sekarang. Mereka menganggap kita lemah seperti sarang labah-labah dan kini mereka dapat melihat kekuatan sebenar kita.
“Tentera kita akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk membawa keselamatan kembali ke utara Israel dan dan saya memberitahu anda bahawa ini adalah prinsip saya,” kata Netanyahu.
“Kita memberikan Hizbollah contoh tentang apa yang berlaku kepada rakan-rakan mereka di selatan,” kata Netanyahu ketika bertemu askar rejim Zionis di penempatan Kiryat Shmona, utara Israel, sambil merujuk kepada serangan dahsyat ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.
“Itulah yang akan berlaku di utara Lebanon. Kita akan melakukan apa sahaja untuk mengembalikan keselamatan Israel,” tambahnya.
Terdahulu, pemimpin kanan Hizbollah, Wissam Al-Hassan, terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar Khirbet Selm, selatan Lebanon awal kelmarin.
Hizbollah dan Israel berterusan berbalas tembak di sempadan Lebanon -Israel 7 Oktober tahun lalu dalam pertempuran paling berdarah sejak kedua-dua belah pihak kali terakhir berperang pada 2006.
Sumber: Kosmo