GEORGE TOWN – NationGate Holdings Bhd., syarikat penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik sehenti (EMS), memperkukuhkan kedudukannya di negara ini melalui pelancaran pelayan kecerdasan buatan (AI server) terkini yang dilengkapi unit pemprosesan grafik (GPU).
Pengarah Urusannya, Datuk Ooi Eng Leong berkata, syarikat komited untuk menyokong ekosistem pusat data yang pesat berkembang di Malaysia dan di peringkat global.
Menurutnya, pelayan AI baharu ini dirancang untuk memenuhi pelbagai keperluan pengkomputeran berprestasi tinggi dan AI generatif, menjadikannya penyelesaian yang relevan bagi syarikat permulaan hingga pusat data berskala besar.
“Sebagai sebuah syarikat Malaysia, NationGate mampu menyediakan perkhidmatan sehenti untuk pelayan AI.
“Langkah strategik ke dalam sektor AI dan pusat data mencerminkan komitmen kami untuk memajukan teknologi serta memupuk inovasi tempatan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Eng Leong berkata, kajian menunjukkan bahawa kapasiti pusat data di Malaysia dijangka meningkat lebih daripada dua kali ganda setiap dua tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
Oleh itu, katanya, penting bagi negara untuk mempunyai sumber teknologi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan industri ini secara mampan.
“NationGate berharap dapat menyumbang kepada pembangunan pusat data tempatan, termasuk dalam aspek pembuatan dan pembangunan bakat,” katanya.
Tambahnya, beliau optimis bahawa pelayan AI baharu itu akan membantu memenuhi permintaan kukuh dalam segmen pengkomputeran data, sekali gus meletakkan syarikat dalam kedudukan strategik untuk terus berkembang di masa hadapan.
Sumber – KOSMO! ONLINE