KUALA LUMPUR: Pelakon Amir Ahnaf mengaku mengenali wanita dari Singapura, Sarah Yasmine ketika menyertai festival jualan di negara itu, tahun lalu.
Bagaimanapun, kata Amir, dia tidak pernah berhubung dengan wanita berkenaan di mana-mana platform.
“Saya mengenali Sarah ketika menyertai festival jualan selama tiga hari di Singapura.
“Secara kebetulan ‘booth’ jualan saya bersebelahan dengan Anna Jobling, jadi selama tiga hari itulah saya dan Anna banyak lepak dengannya.
“Dia layan kami dengan baik, makan bersama dan banyak tolong seperti angkat barang jualan.
“Ada masanya Sarah seperti pengawal peribadi yang menjaga kami sepanjang di festival,” kata Amir ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya anjuran 4ward Entertainment Sdn Bhd, di sini, semalam.
Mengulas namanya dipetik wanita itu, Amir berkata, dia menyedari mengenai perkara itu, tetapi tak perlu melatah.
Katanya, dia tidak terkejut kerana tiada apa perlu disembunyikan.
Ditanya adakah wanita itu ada menghubungi sepanjang berada di Malaysia, Amir berkata, dia tidak menerima apa-apa mesej daripada Sarah.
“Kami langsung tak berhubung selepas festival. Lagipun, buat apa nak hubungi saya kerana tiada keperluan. Dia juga sibuk dengan urusan peribadi,” kata Amir.
Sementara itu, Amir berkata, dia tidak begitu ambil tahu mengenai kekecohan yang berlaku.
Katanya, dia bukanlah seorang yang suka ambil tahu hal orang, sebaliknya lebih selesa fokus kepada diri sendiri.
“Sebagai kawan, saya hanya mampu doakan baik-baik sahaja. Benda sudah jadi, tak boleh nak buat apa-apa lagi.
“Jujur, saya tak ambil tahu isu Sarah kerana banyak lagi perkara penting yang perlu saya fokus, antaranya kerjaya dan adik-beradik.
“Buat apalah saya nak sibuk ambil tahu hal orang, sedangkan hidup saya sendiri kucar-kacir,” katanya.
Sumber: Berita Harian