PETALING JAYA – Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berpendapat penganjur konsert perlu mempunyai modal yang cukup untuk menganjurkan konsert agar tidak berdepan dengan sebarang kesulitan yang menjurus kepada pembatalan acara itu.
Menerusi temu bual bersama sebuah portal hiburan, Siti, 45, berkata, penganjur konsert juga perlu tahu cara pemasaran yang betul untuk mempromosikan konsert.
“Penganjur perlu faham dan tahu cara pemasaran. Strategi pemasaran yang betul sangat membantu penjualan tiket. Walaupun saya sudah popular dan orang cakap letak sahaja nama Siti Nurhaliza tiket mesti habis, saya tak percaya benda itu. Walaupun kadang-kadang ada kebenaran.
“Saya mesti tanya dulu penganjur mereka ada strategi pemasaran yang bagus tak? Atau ada modal tak? Ya modal sangat penting, jangan nak berangan buat konsert artis tapi tak ada modal dan tajaan yang cukup,” katanya.
Tambah pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu lagi, beliau sendiri masih perlukan tajaan demi melancarkan lagi perjalanan sesebuah konsert biarpun sudah bergelar penyanyi nombor satu negara.
Tahun ini sahaja Siti menjayakan empat konsert berskala besar yang telah berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil, Arena Of Stars Genting Highlands, Singapura dan satu lagi bakal berlangsung pada Disember depan di Stadium Merdeka bersama Judika.
Terdahulu, kecoh apabila konsert penyanyi Aisha Retrno dibatalkan dua minggu sebelum konsert berlangsung gara-gara hasil jualan tiket yang rendah. Disebabkan itu, ramai yang menuding jari kepada pihak penganjur kerana dikatakan gagal membuat promosi dengan baik serta berani mempertaruhkan penyanyi baharu yang belum cukup repertoire untuk membuat konsert.
Difahamkan pihak penganjur konsert tersebut bakal mengadakan sidang media dalam masa terdekat untuk menjelaskan lebih lanjut tentang isu yang mendapat perhatian ramai itu.
Sumber – KOSMO! ONLINE