PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Naim Daniel menzahirkan rasa kecewa susulan kes buli membabitkan penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) masih berlaku meski pernah meragut nyawa sebelum ini.
Naim atau nama penuhnya, Muhammad Naim Daniel Baharin,27, berkata, insiden buli di IPTA tersebut masih tidak dibendung malah dia tidak dapat menerima alasan insiden buli tersebut merupakan tradisi penuntut di sana.
Pada tahap ini, melingkup sahajalah tempat ini. Lantak orang nak kata aku pukul rata ke apa.
“Jangan datang pada aku dan kata tidak faham tradisi sesebuah institusi,” katanya dalam platform X.
Pelantun lagu Sumpah itu turut mempertikai mengapa suara golongan yang dizalimi masih tidak didengari pihak atasan dan tiada tindakan keras diambil terhadap para pelaku.
“Sudah berapa banyak nyawa yang dizalimi dekat tempat ni.
Berapa banyak lagi suara yang belum atau tak didengari?” ujarnya.
Dia berkata demikian selepas mengulang siar perkongsian seorang pengguna X yang memuat naik laporan polis berhubung sebuah insiden buli terbaharu di IPTA tersebut.
Terdahulu, seorang Pegawai Kadet Laut iaitu Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain maut selepas teruk dipukul dan diseksa menggunakan seterika wap gara-gara dituduh mencuri komputer riba tujuh tahun lalu.
Sehinggalah pada 23 Julai lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti UPNM yang didapati bersalah mengakibatkan kematian kepada Allahyarham Zulfarhan.
Terbaharu, seorang penuntut tahun satu UPNM cedera parah serta retak pada bahagian tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior.
Difahamkan, mangsa telah dipijak oleh pelajar senior tahun tiga dalam satu kejadian yang berlaku pada 21 Oktober lalu.
Sumber – KOSMO! ONLINE