SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang menjadi korban dalam nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut pada hari ini.
Menurutnya, tragedi tersebut memberi kesan mendalam kepada mangsa dan juga kehilangan besar buat negara.
Ujarnya, siasatan segera akan dijalankan oleh Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.
“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.
“Negara berdukacita dengan tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Pada jam 9 pagi tadi, dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhempas selepas bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika sesi latihan sempena Hari Terbuka Armada TLDM melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, maklumat awal terdapat 10 mangsa berada dalam kedua-dua helikopter itu semasa kejadian dan tiada mangsa yang dilaporkan selamat.
Sumber: Sinar Harian