BIMBANG kerana sering mengalami gangguan pernafasan ketika tidur atau sleep apnea, pelakon veteran, Zulkifli Ismail mengambil inisiatif menjalani prosedur ‘sleep studies’.
Kongsi aktor berusia 61 tahun itu, beliau ‘menyerah diri’ ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada Isnin dan sudah dibenarkan keluar hari ini.
“Alhamdulillah. Pagi tadi saya selesai menjalani prosedur sleep studies dan dibenarkan balik. Minggu depan jumpa doktor untuk mengetahui keputusan ujian.
“Sleep studies dilakukan kerana saya sering mengalami gangguan pernafasan ketika tidur atau sleep apnea. Ini termasuklah nafas terhenti beberapa kali sepanjang malam ketika tidur,” ujarnya.
Zulkifli berkongsi perkara itu menerusi media sosialnya pada Selasa.
Difahamkan ujian ‘sleep studies’ itu dilakukan bagi mengenal pasti berapa kali nafasnya terhenti ketika tidur, berapa kali terkejut dan terjaga tengah malam serta berapa lama masa diambil sebelum seseorang pesakit itu kembali terlelap.
Dalam masa sama, pelakon watak DSP Razlan dalam drama Gerak Khas itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan.
Sumber – SINAR HARIAN