GUA MUSANG, 30 November- Seorang pekerja ladang getah warga Indonesia ditemukan maut dipercayai dibaham harimau dalam kawasan ladang getah Kampung Kuala Tol, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo menerusi satu kenyataan malam tadi memaklumkan lelaki berkenaan dikenali sebagai Shabaini, 36 tahun.
Belau berkata, ketika dijumpai, mayat mangsa berada dalam keadaan tidak sempurna dengan kesan kecederaan di bahagian leher serta hilang tangan kanan, kedua ibu jari kaki serta sebahagian bawah badan.
“Polis menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada pukul 1.30 tengah hari, dan sehubungan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota polis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penduduk setempat dilancarkan.
“Hasil operasi kira-kira satu jam di tempat kejadian, pasukan SAR menemukan mayat mangsa di kawasan cerun kira-kira 200 meter dari lokasi motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut Sik, pasukan SAR membawa keluar mayat mangsa pada 6.16 petang dan tiba di Unit Forensik Hospital Gua Musang pada 7 malam untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pihak polis menasihatkan masyarakat setempat yang keluar bekerja agar bergerak secara berkumpulan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Kejadian sedemikian telah berlaku beberapa kali sebelum ini. Pada 12 November lalu, seorang lelaki warga Myanmar Ahka Soe Ya, 22, ditemukan maut pada 1.30 tengah hari dipercayai diserang harimau di sebuah ladang getah di Kampung Meranto, dalam daerah sama.
Kurang 48 jam sebelum itu, mayat seorang lelaki warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di sebuah ladang di Hutan Simpan, Kampung Meranto, juga dipercayai angkara harimau.