Mungkin Ada Yang Anggap Saya ‘Demand’ Selepas Menang ABPBH – Haneesya Hanee

0
45
Foto: Harian Metro

Meniti karier sebagai anak seni dan menuai populariti bukanlah mudah. Ditambah pula dengan permulaan kariernya, pelakon, Haneesya Hanee bermula dengan kontroversi sekali gus membuatkan laluannya lebih berliku.

Haneesya pernah dikecam teruk gara-gara tersebar video memaparkan aksi gadis mirip dirinya berparti liar hingga menyebabkan gelaran juara Dewi Remaja 2018/2019 ditarik balik selepas 72 jam diterima,

Kini, pelakon berusia 24 tahun itu kembali mengorak langkahnya dengan lebih jaya selepas melalui satu fasa mencabar dalam kehidupannya sebagai anak seni dan juga manusia.

Pernah sepi daripada tawaran lakonan, itu tidak pernah mematahkan semangat Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Syed Sahlan untuk terus mencari rezeki bagi melengkapkan kelangsungan hidupnya bersama keluarga.

“Saya memang tak ada tawaran kerja sebelum ini. Kalau ada pun, watak ‘cameo’ saja dan dalam sebulan, ada satu atau dua tawaran saja. Sejak selesai dengan Dewi Remaja lagi dan bukan hanya setahun.

“Selepas tempoh kontroversi itu, saya menang kategori Artis Baharu Wanita Popular di ABPBH32 (Anugerah Bintang Popular ke-32) dan waktu itu saya lagi susah untuk dapatkan kerja. Kalau dapat pun, watak kecil dalam drama.

“Bukan saya tak bersyukur, tapi tidaklah berbaloi sangat. Ada juga watak utama, cuma drama itu tidaklah menjadi sebutan,” katanya.

Menurut Haneesya, sehingga kini dia masih mencari jawapan kepada persoalan itu dan ia sukar untuk digambarkan dalam bentuk kata-kata.

“Sampai ke hari ini, saya masih mencari jawapan kenapa saya tak ditawarkan kerja. Mungkin ada yang anggap saya ‘demand’ selepas menang ABPBH.

“Memang sukar. Tak ada cara lain untuk saya jelaskan. Tapi, terpulang kepada individu bagaimana nak jadikan kesukaran itu lebih sukar atau kurang sukar,” katanya.

Bertuah kerana memiliki keluarga yang sentiasa menjadi penguatnya, Haneesya turut meluahkan rasa syukur kerana lahir dari rahim seorang ibu yang sanggup berkorban apa saja demi keluarga.

“Keluarga adalah sistem sokongan saya yang utama dan itu sangat penting. Rezeki Allah itu luas. Tak tahu dari mana datang, tahu-tahu, ada rezeki. Jadi, saya buat ulasan produk dan ada jual produk. Ia mencukupi, tapi tak rasa kurang.

“Dah tergadai banyak (barang kemas). Kereta masih ada lagi. Ibu selalu cakap, barang kemas yang dibeli, bukan untuk dia. Dia hanya pakai dan itulah yang akan digunakan kalau ada apa-apa berlaku kepada anak-anaknya di masa hadapan.

“Barang kemas yang dia pakai umpama jaminan untuk anak-anaknya. Jadi, sebagai anak, bila dia dah jual, kita kenalah beli balik sebab dia gadai pun untuk kita. Jadi, saya beli balik dan beli lagi,” katanya.

Tugasnya sebagai pelakon juga menuntutnya untuk berdepan beberapa dilema antara tugas dan prinsip. Namun, meneliti secara waras, Haneesya tetap meneruskan tugasnya dalam drama berjudul Aku Bukan Ustazah yang tamat siarannya, baru-baru ini.

“Dalam drama itu, saya memegang watak Sally. Seperti biasa, saya menjadi ‘kegemaran’ watak-watak jahat dan dibenci. Tapi, kalau ini, Sally ini tidaklah jahat yang terlalu jahat. Dia nakal.

“Ia tidak terlalu sukar kerana saya dah biasa bawakan watak antagonis. Bezanya, dalam beberapa awal, dah ada banyak babak Sally pergi kelab malam dan balik dalam keadaan mabuk.

“Mengenai isu watak Sally itu dan dalam situasi itu, saya buat sahajalah.

Saya dah berbincang dengan produksi dan pengarah, ada benda yang boleh dan tak boleh. Jadi saya teruskan saja.

“Kalau tak cuba, kita tak tahu hasilnya bagaimana. Mungkin hasilnya buruk dan lebih teruk kalau saya buat. Tapi, kalau saya tak buat pun, mungkin sama sahaja dan saya hanya duduk di rumah. Jadi, saya teruskan sahaja,” katanya.

Kini, Haneesya berharap agar lakonannya meninggalkan kesan di hati penonton sekali gus akan membuka lebih luas pintu rezeki untuknya dalam bidang lakonan.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here