Impak kewujudan pempengaruh dalam masyarakat hari ini tidak dapat dinafikan lagi apabila ia kini dianggap oleh golongan muda sebagai satu cabang kerjaya.
Ia lebih-lebih lagi apabila masyarakat dimaklumkan bahawa ada dalam kalangan pempengaruh menjana pendapatan ratusan ribu ringgit sebulan.
Justeru, kekayaan serta populariti menjadi tarikan terhadap golongan muda untuk mencuba nasib sebagai pempengaruh menerusi media sosial.
Bagi pempengaruh yang berjaya dalam bidang perniagaan seperti Khairul Aming, mereka dijadikan idola oleh orang ramai yang menceburi bidang tersebut.
Bagaimanapun, sekadar memasang impian tanpa pengetahuan pada hakikatnya tidak semudah yang disangka kerana persediaan rapi perlu dilakukan bagi tujuan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Perak, Sharul Baha Abd. Rahman berkata, orang ramai harus melihat terlebih dahulu pempengaruh yang mahu dijadikan idola kerana ada dalam kalangan mereka memaparkan kandungan di media sosial masing-masing untuk tujuan pemasaran semata-mata.
Bahkan katanya, ada juga influencer yang memuat naik kandungan kerana mahu menarik trafik ke media sosial mereka sekali gus meningkatkan jumlah pengikut.
“Jangan terikut-ikut dengan pempengaruh yang tunjuk macam-macam tetapi sebenarnya nak untung sahaja. Jika mahu berniaga, elok bermula dari bawah.
“Banyak kursus atau kelas perniagaan yang dianjurkan oleh golongan berpengalaman. Mereka ini biasanya berjaya bukan disebabkan oleh kontroversi tetapi setelah berusaha keras,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang berminat untuk berniaga boleh menggunakan platform bantuan disediakan oleh agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional.
“Di Perak ada Akademi Pembangunan Belia Malaysia yang menawarkan macam-macam kursus untuk belia secara percuma dan kalau dikenakan bayaran pun, kosnya rendah sahaja.
“Jadi, gunakan platform yang disediakan oleh kerajaan kerana banyak manfaat daripadanya seperti ilmu pengetahuan berkenaan bidang diceburi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, seorang usahawan tidak semestinya menggunakan kaedah pemasaran digunakan pempengaruh dalam perniagaan mereka.
Jelasnya, setiap produk mempunyai kaedah pemasaran yang tersendiri dan tidak semua yang diguna pakai oleh pempengaruh sesuai dengan barangan dijual usahawan.
Katanya, tindakan mengikut-ikut sepenuhnya kaedah pemasaran yang digunakan pempengaruh tidak menjanjikan pulangan diharapkan oleh seorang usahawan kerana mereka perlu memahami terlebih dahulu produk dijual masing-masing.
“Kumpulan sasaran bagi perniagaan mereka (pempengaruh) mungkin berbeza dengan usahawan tersebut.
“Jadi, tak semestinya kaedah itu sesuai dengan perniagaan kita. Bagaimanapun, mungkin nilai-nilai murni yang dipaparkan pempengaruh tersebut boleh dijadikan teladan.
“Ada dalam kalangan influencer ini mereka memberikan motivasi yang baik kepada orang ramai. Usahawan kena pandai, jangan sampai terlalu mencontohi pempengaruh sampaikan terkeluar dari landasan sendiri,” katanya.
Kesimpulannya, tidak salah untuk mencontohi seseorang influencer kerana mereka masih mempunyai impak positif terhadap para pengikut, namun orang ramai harus bijak dalam melakukan suatu perkara dan tidak mengikut bulat-bulat apa dilakukan oleh sesetengah pempengaruh.
Sumber: Kosmo