HANGZHOU, 30 September- Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki, malam tadi pada aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Hangzhou mendedikasikan kejayaannya itu kepada ibu bapanya.
Muhammad Azeem mengakui dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, melihat kepada senarai pelumba pada pentas akhir perlumbaan semuanya mencatat masa bawah 10.20 saat namun akhirnya puas selepas berjaya menempatkan dirinya di kedudukan podium.
“Sejujurnya, saya tidak menjangka akan berada di atas podium malam ini kerana saya tahu ia akan menjadi perlumbaan yang sengit.
“Pingat malam ini sangat bermakna bagi saya, walaupun sekadar gangsa, ini adalah hadiah kepada ibu bapa saya, di mana saya berjanji akan cuba sehabis baik untuk sampaikan pingat kepada mereka kerana ini pertandingan terakhir saya bagi tahun ini.
Pencapaian pelari berusia 19 tahun itu memenangi pingat sulungnya di peringkat antarabangsa turut menoktahkan penantian lebih empat dekad negara untuk penyudah podium dalam acara utama atau reben biru sejak Datuk Rabuan Pit memperoleh emas dalam edisi 1982 di New Delhi, India.
Muhammad Azeem memastikan kedudukan podium dengan catatan masa 10.11 saat (s), hanya 0.02 saat perlahan daripada rekod kebangsaan miliknya, iaitu 10.09s yang dicipta semasa Kejohanan Olahraga Dunia Bawah-20 di Cali, Colombia.
Atlet China Xie Zhenye menyamai rekod peribadi terbaiknya iaitu 9.97s untuk memperoleh emas sementara wakil Thailand Puripol Boonson juga melakukanya dengan baik dengan masa 10.02s untuk perak selepas rakan senegara Soraoat Dapbang terdahulu tersingkir kerana ‘false start’.
Selepas ini, Muhammad Azeem akan beraksi dalam acara lari berganti-ganti 4x100m pada Selasa.
Sementara itu, seorang lagi atlet pecut yang juga bekas pemegang rekod kebangsaan 100m dan Juara Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan terlepas peluang ke final selepas menamatkan separuh akhir kedua di tempat terakhir dengan masa 10.63s.
Untuk rekod, pelari pecut terakhir Malaysia yang layak ke final 100m Sukan Asia ialah Watson Nyambek iaitu 25 tahun lalu, menduduki tempat keempat dengan masa 10.32s dalam edisi 1998 di Bangkok, Thailand.
Terdahulu, ratu trek negara Shereen Samson Vallabouy mengakhiri kemarau pingat Malaysia dalam olahraga selama 17 tahun dengan menyumbang gangsa dalam acara 400m wanita.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam Sukan Asia ialah pada edisi 2006 di Doha, Qatar menerusi Roslinda Samsu yang menyumbang perak dalam acara lompat bergalah dan gangsa diperoleh Noraseela Mohd Khalid dalam 400m lari berpagar wanita.