Georgetown: Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak memboikot McDonald’s Malaysia kerana pihak pengurusan syarikat itu sudah menegaskan mereka tidak memberi sebarang sumbangan kepada Israel.
Wan Salim turut menasihatkan orang ramai yang mahu melakukan tindakan memboikot mana-mana syarikat didakwa berkaitan dengan Israel mestilah berdasarkan bukti jelas dan meyakinkan, bukan sekadar sangkaan atau andaian semata-mata.
“Perlu dijelaskan bahawa McDonald’s Malaysia tidak termasuk antara syarikat yang perlu diboikot kerana pihak pengurusannya sudah memberi penjelasan, selain itu syarikat berkenaan juga mengeluarkan zakat menerusi pejabat urus zakat di beberapa negeri.
“Dalam membela pihak yang teraniaya jangan pula sampai menganiaya pihak yang lain, jadi sebagai umat Islam kita hendaklah menegakkan keadilan walaupun terhadap orang bukan Islam. Ini kerana nilai keadilan yang diperintahkan agama Islam supaya ditegakkan adalah bersifat sejagat, bukan kepada masyarakat Islam sahaja,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Sumber: Harian Metro