MSM Cadang Harga Gula Dinaikkan Kepada RM3.85 Sekilogram

0
117
Foto: Sinar Harian

Pasir Gudang: MSM Malaysia Holding Bhd (MSM) mencadangkan kerajaan menaikkan harga RM2.85 sekilogram untuk gula paket kasar kepada RM3.85 sekilogram selaras dengan kos pengeluaran semakin meningkat.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM, Hasni Ahmad berkata, buat masa ini syarikat berkenaan beroperasi dalam kerugian apabila harga jualan gula tidak munasabah mengikut kos operasi.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi langkah menaikkan harga sekilogram gula kasar sebanyak RM1.

Menurutnya, gula pada masa ini adalah produk yang dikawal harga oleh kerajaan dan bukannya produk bersubsidi.

“MSM pada masa ini menampung margin keuntungan yang negatif bagi jualan gula runcit dan borong berbanding dengan kos pengeluaran, sekali gus menjadikan harga ketika adalah tidak bersesuaian.

“Kami percaya kerajaan akan menangani isu ini. Langkah ini perlu dibuat kerana kos pengeluaran sudah tidak boleh dikawal atas beberapa faktor antaranya perang di Ukraine, perang di Timur Tengah dan juga kejatuhan nilai matawang ringgit.

“Buat masa ini kami masih menunggu keputusan rasmi berkaitan cadangan kenaikan harga gula kepada RM3.85.

“Kami juga berpandangan supaya harga siling gula juga dihapuskan berikutan kita tidak boleh mengawal kos pemprosesan dan kita perlu menjual apa yang munasabah atau berpatutan.

“Sebagai pengeluar gula terbesar di negara ini, MSM akan terus menyediakan keterjaminan makanan kepada negara di tengah-tengah pelbagai cabaran kos input yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media sempena Rombongan Media ke MSM Johor di Tanjung Langsat di sini semalam.

Sementara itu, Hasni berkata, pihaknya juga yakin pengeksportan gula ke Singapura dijangka bermula suku pertama atau kedua tahun ini langsung tidak akan menjejaskan bekalan di pasaran tempatan.

Beliau berkata, MSM bercadang mengeksport produk terbaharu dalam barisan produk Gula Prai iaitu gula putih premium Gula Super ke negara jiran itu.

“MSM Johor mempunyai keupayaan tanpa halangan untuk menghasilkan pada kapasiti pengeluaran reka bentuk yang efektif iaitu sebanyak sejuta tan setahun.

“Pengeluaran MSM termasuk di Prai, Pulau Pinang mampu menampung kapasiti mencukupi untuk permintaan domestik gula sebanyak 1.6 juta tan setahun.

“Berkaitan masalah kekurangan bekalan gula, mungkin ia berlaku di bahagian pengedaran dan tidak berpunca daripada pengeluaran kilang MSM,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta kerajaan memberikan penekanan terhadap usaha keselamatan makanan khususnya melibatkan produk gula kerana ia merupakan satu keperluan asas rakyat negara ini.

“Kita perlu mempunyai sumber gula mentah sendiri, antara cadangan termasuklah mewujudkan ladang tebu sendiri.

“Ia penting kerana ketika ini negara seperti India dan Thailand sudah melarang eksport gula mentah, dan bekalan kita terima dari Brazil.

“Apa akan berlaku sekiranya Brazil juga melarang eksport gula mentah mereka, jadi perkara ini perlu diberikan perhatian untuk keselamatan makanan Malaysia,” katanya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here