PETALING JAYA – Pelakon Mona Allen enggan melayan kecaman netizen gara-gara dia menyuarakan rasa tidak bersetuju dengan penganjuran Solidariti Himpunan Malaysia Bersama Palestin, di Axiata Area Bukit Jalil, baru-baru ini.
Malah, isteri kepada pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim itu hanya ketawa apabila membaca mesej memaki hamun dirinya yang dikirim oleh netizen, disebabkan isu tersebut.
Berdasarkan Kosmo, menerusi hantaran yang dimuat naik Mona atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen dalam InstaStory miliknya, pelakon itu menyifatkan netizen terlebih tahu tentang maksud yang cuba hendak disampaikan sehingga menerima kecaman daripada netizen.
“Kasihan. Bila tidak tahu hujung pangkal cerita, tiba-tiba acah terpaling tahu keseluruhan cerita. Bila bercakap pasal politik, secara general (umum) bukan ditujukan kepada individu.
“Kepada budak-budak BBNU (budak-budak baru nak ‘up’), sila banyakkan membaca dan tambah ilmu lagi bila nak mesej saya. Tergelak baca mesej kalian,” tulisnya.
Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia menyifatkan tiada faedah tindakan netizen mengecamnya kerana tidak faham dengan maksud yang cuba hendak disampaikan.
“Tiada faedah pun bersungguh-sungguh maki hamun saya disebabkan satu kenyataan tentang politik yang kamu sendiri tidak faham isinya.
“Isu Palestin tiba-tiba hilang. Buat malu sahaja pemegang kad pengenalan beragama Islam,” tulisnya yang turut menyertakan tanda pagar #silamainjauhjauh.
Dalam hantaran berbeza, Mona turut memberitahu dia tiada masa melayan kecaman-kecaman netizen yang disifatkan masih berhingus kerana sibuk menguruskan anak.
“Topik lain. Bosan topik sama. Sudah-sudahlah wahai anak-anak semua. Saya sibuk jaga anak. Saya pun dan sendu, tak ada masa nak layan mesej budak-budak hingusan.
“Saya akhiri dengan assalamualaikum,” ujarnya.
Terdahulu, pelakon berusia 37 tahun itu dikecam selepas menyuarakan pendapat bahawa perhimpunan beramai-ramai untuk menunjukkan solidariti terhadap Palestin bukanlah suatu keperluan.
Tambah Mona, adalah lebih baik jika perhimpunan sebegitu digantikan dengan solat hajat bagi membuktikan sokongan terhadap negara tersebut.
“Lebih afdal melakukan solat hajat di masjid-masjid seluruh negara. Itu pendapat saya. Sekian, terima kasih,” ujarnya menerusi satu hantaran dalam InstaStory.
Pada masa sama, Mona juga berkata, walapun dia tidak hadir ke acara perhimpunan tersebut, itu tidak bermakna dia tidak menyokong Palestin.
“Tidak bermakna saya tidak ke sana, berkumpul beramai-ramai, saya tidak menyokong Palestin.
“Itu cuma pendapat saya. Terpulang pada orang nak menilai. Mana yang pergi, ‘good job’. Bagi saya, rasa tidak perlu. Hanya politik dan populariti,” katanya.
Sumber: Kosmo