Mohon KPM Benarkan Pakai Baju Sukan Setiap Hari

0
69
Foto: Sinar Harian

SHAH ALAM – Ibu bapa mencadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menambah baik garis panduan pemakaian baju seragam sekolah susulan negara kini berhadapan fenomena El Nino manakala keadaan suhu mencapai tahap melebihi 35 darjah Celsius.

Peniaga, Nurul Hidayu Mohd Hadri, 34, berkata, adalah lebih baik sekiranya KPM membenarkan pelajar memakai pakaian sukan setiap hari kerana lebih praktikal dan mudah untuk bergerak.

“Saya tidak menafikan arahan KPM sebelum ini yang membenarkan murid mengenakan baju sukan dua hari seminggu, namun alangkah baiknya jika kementerian mempertimbangkan untuk membenarkan pemakaian baju sukan setiap hari.

“Baju seragam sekolah panas dan anak-anak jauh lebih selesa berpakaian sukan.

“Cadangan ini dibuat bukan untuk kesenangan ibu bapa tetapi demi keselesaan dan kesejahteraan anak- anak yang terpaksa berhadapan cuaca panas ketika ini,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Murid sekolah memakai pakaian sukan ketika hadir ke Sekolah Kebangsaan (SK) Wawasan Seremban 2, Seremban.

Terdahulu pada 19 Januari lalu, media melaporkan pelajar di semua institusi pendidikan di bawah KPM dibenarkan memakai seragam dua hari seminggu sepanjang sesi persekolahan 2024/2025.

Terbaharu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, KPM ada mengeluarkan garis panduan iaitu sebarang aktiviti luar bilik darjah tidak boleh dijalankan sekiranya suhu mencapai 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Menurutnya, jika pihak sekolah mengadakan aktiviti luar bilik darjah ketika fenomena El Nino dan keadaan cuaca panas, ibu bapa boleh mengemukakan aduan rasmi kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Mengulas mengenai garis panduan terbaharu itu, Nurul Hidayu berharap pihak sekolah patuh terhadap arahan dan mempertimbangkan cadangan melaksanakan aktiviti merentas desa, berkawad dan sebagainya.

“Saya menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan KPM terhadap kesihatan anak-anak. Diharapkan pihak sekolah membuat pertimbangan sebelum melakukan sebarang aktiviti,” ujar ibu kepada empat orang anak.

Sementara itu, Siti Nurul Jannah Mohd Rhodi, 32, turut mencadangkan KPM membenarkan murid mengenakan baju-t badan beruniform pada hari kokurikulum walaupun mereka mengikuti acara kawad kaki.

Sebahagian murid hadir ke sekolah dengan mengenakan baju-t dan berpakaian sukan berikutan cuaca panas.

Menurut ibu kepada empat anak, pemakaian baju-t lebih memudahkan dan memberi keselesaan kepada anak-anak untuk melakukan aktiviti.

“Di sekolah anak saya, pihak sekolah meminta pelajar yang mengikuti acara kawad mengenakan baju unit beruniform lengkap.

“Saya kurang bersetuju arahan ini kerana pakaian beruniform tidak sesuai dipakai ketika cuaca panas kerana kainnya tebal dan membuatkan anak-anak cepat berpeluh.

“Kami (ibu bapa) hanya minta pihak sekolah dan KPM mempertimbangkan cadangan ini. Kami akan pastikan anak-anak berpakaian kemas walaupun mengenakan baju-t,” katanya.

Suri rumah, Nor Fatihah Mohd Mohiadin, 44, pula meminta pihak sekolah menyediakan penapis air di setiap bangunan untuk kegunaan pelajar mengisi semula bekalan air.

Menurutnya, anak-anak memerlukan bekalan air minuman bersih mencukupi untuk mengawal suhu badan.

“Pihak sekolah perlu menjaga kebajikan, kesihatan dan keselamatan dengan memastikan mereka mempunyai akses untuk mengisi semula bekalan air, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas,” katanya yang memiliki tiga cahaya mata.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here