KULAI, 30 Oktober- Subjek baharu mengenai keusahawanan dan kewangan perlu diperkenalkan di peringkat sekolah menengah.
Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia sebagai langkah mendidik generasi muda memahami bidang tersebut, secara berstruktur dan sistematik.
Beliau berkata, pengenalan subjek tersebut juga memupuk minat minat pelajar untuk menceburi bidang perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sejak awal.
“Selalu dalam Dewan Rakyat sebut, keusahawan dan kewangan itu merentas kurikulum, tetapi merentas kurikulum ini tidak berkesan, kerana dia sambil lalu dalam pelajaran beberapa pelajaran antaranya Bahasa Melayu, Matematik, Sains.
“Namun ia tidak khusus kepada keusahawanan dan perniagaan, sekiranya ada pengkhususan pastinya bermanfaat.
“Kita mahu orang muda memahami tentang subjek ini dengan lebih berstruktur dan sistematik, saya kira ramai yang akan mendapat faedah jika celik kewangan dan keusahawanan untuk masa depan mereka,” katanya.
Jelas Ahmad, susulan itu, jawatankuasa Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang antaranya dianggotai Bank Negara Malaysia (BNM), KPM serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan berbincang dan melakukan kajian awal terhadap pengenalan subjek baharu tersebut.
Beliau mengesyorkan kurikulum itu perlu diperkenalkan kepada pelajar tingkatan satu hingga enam sambil menyifatkan usaha bagi mewujudkan subjek itu juga dapat membantu membendung kes ‘scammer’ sekali gus mengelakkan masyarakat menjadi mangsa penipuan.