Misteri Kehilangan Bakal Calon SPM Terungkai, Rangka Manusia Ditemui Di Tepi Jalan

0
64

Batu Pahat: Misteri kehilangan seorang bakal calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak sebulan lalu mungkin terjawab apabila rangka manusia ditemui di tepi tebing Jalan Yong Peng, berdekatan Kompleks Penghulu Linau, di sini, hari ini.

Rangka tersebut ditemui tengah hari tadi bersama sebuah motosikal yang hampir sama dengan yang digunakan oleh Hafiz Fauzan Abd Halid, 17, berdasarkan nombor pendaftaran yang telah dihebahkan oleh ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.

Motosikal tersebut ditemui tersangkut di celah batang pokok berhampiran kebun durian. Selain itu, jaket dan topi keledar turut ditemui di lokasi.

Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor segera bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai penemuan rangka tersebut.

Hafiz Fauzan, seorang pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR), dilaporkan hilang setelah keluar dari rumah pada malam 25 Mei lalu untuk menonton bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah.

Bapanya, Abd Halid Sugiman, 44 tahun, telah berusaha mencarinya termasuk meneliti beberapa jalan yang mungkin dilaluinya sepanjang Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja dan Jalan Sri Bengkal, tetapi tiada petunjuk diperoleh.

Sejak kehilangannya, keluarga Hafiz Fauzan telah melakukan pelbagai usaha serta menerima bantuan dari rakan-rakan bapanya, namun kesemua usaha itu menemui jalan buntu.

Hafiz Fauzan dilaporkan meminta izin kepada bapanya untuk pergi menonton perlawanan akhir bola sepak dengan menaiki motosikal.

“Begitu kami selesai makan bersama di Yong Peng, kami pulang ke rumah sekitar jam 10 malam. Dia kemudian meminta izin untuk pergi menonton final bola sepak di rumah kawan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here