PETALING JAYA – Berbangga dengan kejayaan rakan seperjuangan menjulang trofi di Indonesia, penyanyi Misha Omar menganggap Ernie Zakri sebagai duta baharu yang mengharumkan nama negara di arena global.
Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, menyifatkan penyanyi kecil molek itu berpotensi melangkah lebih jauh bersandarkan vokal serta bakat luar biasanya.
Tahniah Ernie, kak Mitch (Misha) bangga dengan awak. Hati saya tersenyum berbunga-bunga tengok gambar ini.
“Saya sangat gembira, akhirnya ada duta baharu untuk industri muzik kita yang kecil comel orangnya tapi punya suara dan jiwa besar,” katanya dalam Insta Story.
Dalam perkongsian tersebut, penyanyi lagu Masihkah Ada Rasa Itu berkongsi foto Ernie memegang trofi kemenangan di Anugerah SCTV 2024 di Jakarta, Indonesia, semalam.
Menerusi hantaran sama, Misha mendoakan isteri kepada penyanyi Syamel itu terus menempa kejayaan di persada antarabangsa.
Katanya, kemenangan diraih itu mampu menarik lebih ramai pendengar muzik di Indonesia mengikuti nyanyian penghibur tempatan.
Mudah-mudahan ini juga penggerak untuk mengajak pendengar dari seberang untuk dengar juga katalog muzik penyanyi negara kita yang lain.
“Semoga terus mengukir nama di persada muzik Malaysia dan Asia. ‘I love you Ernie’,” ujarnya.
Terdahulu, lagu dendangan Ernie berjudul Masing-Masing diumumkan sebagai pemenang kategori Sountrack Sinetron Paling Ngetop (OST) pada anugerah terbabit.
Karya ciptaan komposer dan pemuzik Indonesia, Ade Govinda dan Nabila V itu menjadi runut bunyi bagi sinetron Luka Cinta yang disiarkan SCTV September tahun lalu.
Pada majlis terbabit, Masing Masing mengetepikan Cinta Pertama Dan Terakhir ‘soundtrack’ bagi sinetron My Heart, Ku Dengannya Kau Dengan Dia (Di Antara Dua Cinta), Kehilanganmu (Naik Ranjang) dan Takkan Berpaling Darimu (Saleha).
Lebih membanggakan, Ernie juga menjadi penghibur Malaysia kedua membawa pulang trofi di anugerah sama selepas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dinobatkan sebagai Artis Asing Paling Ngetop pada 2004.
Sumber – Kosmo! Online