Minum Air Oren Rakan, Lelaki Bangladesh Maut Ditikam

0
44
Foto: Berita Harian

SHAH ALAM: Seorang lelaki maut ditikam rakan sekerja ketika berbuka puasa di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36 dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.20 malam.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek lelaki berusia 51 tahun berang apabila mangsa dikatakan meminum air oren milik suspek ketika berbuka puasa.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah warga Bangladesh berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am. Mangsa dan suspek warga Pakistan tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai asrama kilang.

“Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila mangsa meminum air orennya semasa berbuka puasa yang mana suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan pada jam 7.30 malam di lokasi kejadian dan semakan mendapati mereka adalah rakan sekerja.

Katanya, turut dirampas adalah pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Asistan Superintendan Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 019-2255597,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here