ALOR SETAR – Sebuah kenderaan asing didapati mempunyai saman tertunggak sebanyak RM17,700 atas pelbagai kesalahan yang tidak dijelaskan sejak 12 tahun lepas.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an di lebuh raya sebelah Changlun, baru-baru ini dan ketika pemeriksaan, dia didapati memiliki saman tertunggak sejak 2013.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, JPJ Kedah bertindak menyita kenderaan asing itu sehingga pemandu kenderaan melangsaikan saman tertunggak terbabit atas kesalahan guna International Circulation Permit (ICP).
Beliau berkata sedemikian pada sidang media khas Op Tahun Baharu Cina 2025 di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, pada malam Ahad.
Van Lutam berkata, kutipan saman tertunggak terhadap pemandu lelaki terbabit adalah jumlah tertinggi direkodkan setakat ini.
Beliau memaklumkan, lelaki terbabit kemudiannya diminta menjelaskan saman secara penuh tanpa ansuran sebelum kenderaan dilepaskan dan dibenarkan pulang ke negara asalnya.
Menurutnya, JPJ turut menekankan pemeriksaan ke atas semua kenderaan termasuklah kenderaan berat dan persendirian, selain kenderaan asing dalam op sempena Tahun Baharu Cina ini.
Beliau memberitahu, setakat ini, JPJ Kedah berjaya mengutip RM101,300 daripada 352 saman dikeluarkan terhadap kenderaan asing melakukan kesalahan di negeri ini.
Dalam perkembangan sama, Van Lutam memaklumkan, pihaknya telah menyita 15 kenderaan atas pelbagai kesalahan dalam Op Tahun Baharu Cina 2025 bermula 20 Januari lepas.
Beliau berkata, dalam tempoh enam hari operasi itu, JPJ Kedah telah memeriksa sebanyak 10,656 buah kenderaan, mengeluarkan 1,864 notis saman atas pelbagai kesalahan dan motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi, diikuti kereta dan kenderaan lain.