MELAKA, 10 Okt (Bernama) – Seorang guru sekolah agama didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memperdayakan dua wanita hingga melakukan hubungan seks, serta memiliki gambar lucah.
Ahmad Saifullah Abdul Khalid, 33, didakwa atas pertuduhan memperdayakan dua wanita berumur 19 dan 33 tahun, untuk mempercayai tawaran pinjaman wang berjumlah RM300 dan RM2,000, sehingga mendorong mangsa melakukan hubungan seks dengan tertuduh.
Menurut Bernama kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan di sebuah hotel di Plaza Mahkota pada 12.40 pagi 21 Mac lepas dan di sebuah premis di Jalan Tebing Tinggi, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 11 pagi 1 Okt lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Saifullah didapati memiliki tujuh keping gambar lucah dalam telefon bimbitnya.
Menurut Bernama, tertuduh melakukan kesalahan it di sebuah sekolah maahad di Aver Molek dalam daerah Melaka Tengah pada 1.50 tengah hari 3 Okt lepas mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Dalam kenyataan Bernama, Majistret Sharda Shienha Mod Suleimanm, menetapkan denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua tau gagal bayar bole dipenjara tiga bulan, manakala denda RM5,000 atau penjara 10 bulan bagi pertuduhan ketiga.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal, sebagai pengajaran, manakala Ahmad Saifullah yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda kerana dia menanggung keluarga termasuk dua anak kecil.
Sumber: Bernama