MFL Buat ‘Pusingan U’ Kurangkan Denda Kepada RM 60,000, Hormat Titah Sultan Selangor

0
33

Kuala Lumpur: Dalam tempoh kurang daripada 48 jam, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah membuat keputusan untuk membatalkan beberapa keputusan kontroversial terhadap Selangor FC.

Dalam satu kenyataan, badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu telah membatalkan pemotongan tiga mata dan perlawanan tanpa penonton yang melibatkan aksi antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang skuad Red Giants.

Selain itu, MFL juga mengurangkan denda daripada RM100,000 kepada RM60,000 terhadap Selangor FC.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini telah menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat pada 24 Jun 2024 terhadap Selangor FC, berikutan ketidakhadiran kelab tersebut dalam Perlawanan Sumbangsih, yang juga merupakan aksi pertama Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2024.”

“Pertimbangan semula ini dilakukan sebagai tanda hormat dan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, Selangor FC diberi tempoh tiga hari dari tarikh surat ini (27 Jun 2024) untuk mengemukakan rayuan, seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.

Sebelum ini, MFL telah mengenakan empat hukuman terhadap Selangor FC kerana ketidakhadiran pasukan tersebut pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei lalu.

Badan pengelola Liga M juga memaklumkan bahawa skuad Gergasi Merah dikenakan tiga lagi hukuman, termasuk bayaran pampasan atas kerugian yang ditanggung oleh pasukan tuan rumah, JDT, dan MFL, serta pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Susulan itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta ahli-ahli Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC tersebut.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here