PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan berterusan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah mulai hari ini hingga jumaat.
MetMalaysia memaklumkan bahawa hujan lebat dijangka melanda negeri Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Johor, serta beberapa kawasan di Sabah sepanjang tempoh tersebut.
Di Kedah, kawasan yang dijangka terjejas termasuk Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, dan Baling. Di Perak, hujan lebat dijangka melanda kawasan Hulu Perak.
“Bagi negeri Kelantan, kawasan yang bakal menerima hujan berterusan ialah Gua Musang, Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, dan Kuala Krai,” menurut kenyataan itu.
Di Pahang, hujan dijangka melanda Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Jerantut, Kuantan, Pekan, dan Rompin. Manakala, di Johor, hujan berterusan turut diramal berlaku.
Selain itu, Sabah juga diramal menerima hujan berterusan, melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Beluran, dan Sandakan) serta Kudat.
Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada, memantau keadaan cuaca semasa, dan mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi.
Sumber – KOSMO! ONLINE