PETALING JAYA – Selain ketampanan serta kecantikan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah dan Dayang Anisha Rosnah, menu di Majlis Persantapan Diraja Pengantin Diraja, malam tadi turut menjadi sebutan ramai.
Terdapat kira-kira 15 menu yang dihidangkan, antaranya ketam Alaska, daging wagyu, udang kara serta kaviar, yang berjaya membuatkan orang ramai terpukau dan terliur.
Namun, orang ramai rata-rata menyifatkan menu adalah setaraf dengan majlis yang melibatkan para tetamu diraja.
“Nasi dia siap ada safron,” komen Siti Aisyah.
“Dengan ketam Alaskanya, udang kara, sarang burung dan daging wagyu lobster,” ujar Zuraidah Sanin.
“Daging wagyu percik dengan trufel. Ada makan wagyu tapi jenis bakar ‘smokey’. Macam mana rasa wagyu percik ni. Memang unik betul menunya,” kata seorang lagi pengguna.
“Nama pun Majlis Santapan Diraja. Tetamu pun sultan-sultan dan segala vvip. Tak akan nak bagi ayam masak merah saja?,” luah Noorul Ray.
Terdahulu, Putera Mateen dan Dayang Anisha selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja sekitar jam 2.17 petang, Khamis lalu.
Majlis tersebut berlangsung dengan penuh istiadat Brunei di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, dan turut berkenan disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta kaum kerabat diraja.
Sumber: Kosmo