Menteri Pendidikan Mesir Didakwa Miliki PHD Palsu

0
33

KAHERAH – Menteri Pendidikan Mesir yang baharu, Mohamed Abdel Latif, mencetuskan kontroversi selepas didakwa memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) palsu, lapor portal berita Middle East Eye semalam.

Menurut maklumat yang diterbitkan oleh kementerian dan semua media kerajaan, beliau memiliki PhD daripada Universiti Bandar Cardiff, Amerika Syarikat (AS), serta ijazah sarjana dalam pembangunan pendidikan daripada Universiti Lawrence di AS pada tahun 2012.

Seorang wartawan Mesir dan pemeriksa fakta, Hossam el-Hendy, telah mempersoalkan kesahihan PhD yang didakwa dimiliki oleh menteri baharu itu daripada Universiti Bandar Cardiff.

Dalam penyelidikannya, El-Hendy mendapati bahawa institusi tersebut adalah sebuah universiti palsu yang mengeluarkan dokumen dan sijil yang tidak diiktiraf tanpa mempunyai kampus sebenar.

Menurutnya, universiti tersebut bukanlah Universiti Cardiff yang terkenal di Britain.

“Universiti palsu biasanya merupakan syarikat tanpa kampus atau fakulti, yang mengeluarkan dokumen atau sijil yang tidak diiktiraf,” tulis wartawan itu.

Foto kampus di laman web Universiti Bandar Cardiff sebenarnya adalah gambar Kolej Trinity, yang merupakan sebahagian daripada Universiti Cambridge di Britain.

Selain itu, alamat yang tertera di laman web universiti tersebut adalah milik sebuah bangunan untuk sewaan pejabat di Washington yang digunakan oleh syarikat-syarikat yang ingin memulakan perniagaan di AS.

Sementara itu, laman berita Middle East Eye tidak dapat menemui sebarang program sarjana dalam pembangunan pendidikan di laman web Universiti Lawrence.

Sebelum ini, Abdel Latif pernah menjabat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif rangkaian sekolah swasta Nermine Ismail (NIS) yang dimiliki oleh ibunya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here