PENYANYI Elyana pernah mengejutkan khalayak apabila membuat pengumumkan menghidap kanser limfoma tahap empat saat tersingkir pada minggu kelima konsert Gegar Vaganza musim keempat (GV4).
Kisahnya gempar sementelah pada waktu tersebut tiada siapa pernah menyangka pemilik nama lengkap Erneelya Elyana Emrizal sedang bertarung dengan penyakit kronik sejak 2011.Dengan izin Tuhan dan usaha rawatan tanpa henti, keadaan Elyana semakin pulih sehingga dia kini disahkan bebas kanser.
“Alhamdulillah dua tahun lepas doktor mengesahkan kanser saya sudah tiada, tetapi sesi rawatan kemoterapi perlu dilakukan untuk mencegah daripada penyakit itu menyerang semula.
“Masih ada 12 kali rawatan dan sekarang doktor minta saya untuk selesaikan empat dahulu.
“Kemudian doktor akan buat pemeriksaan lanjut untuk mengetahui sama ada hendak diteruskan kemoterapi lagi atau tidak,” kata Elyana yang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor.
Semestinya gembira dengan perkembangan kesihatan yang semakin membaik, namun tidak dinafikan sesekali rasa ‘sakit’ itu muncul semula.
“Saya tidak pasti sama ada hendak cakap okey atau tidak sebab apabila kita sudah mendapat penyakit kanser ini, payah untuk digambarkan.
“Kadangkala saya akan baik, ada waktunya juga tidak. Hendak cakap sepanjang masa baik juga pun tidak. Tetapi, buat masa ini saya sudah boleh berdamai dengan keadaan sekiranya diserang penyakit.
“Sekarang alhamdulillah saya sudah pandai sedikit untuk menguruskan diri dan juga sudah tahu apa yang hendak dilakukan jika berasa sakit,” katanya senyum lebar.
Sumber – Kosmo! Online