Riyadh: Selepas 72 tahun, Arab Saudi merancang penjualan minuman keras yang ditawarkan hanya kepada diplomat bukan Islam.
Namun, kebenaran itu menimbulkan pelbagai reaksi terutama kebimbangan keputusan itu ke arah langkah pertama untuk ketersediaan alkohol yang lebih meluas.
Sumber mendedahkan, butiran rancangan itu dalam satu dokumen rasmi menunjukkan, betapa berhati-hatinya pemimpin kerajaan negara Teluk itu dalam menguruskan hal berkenaan.
Terletak di Diplomatic Quarter di ibu negara, kedai itu hanya boleh diakses diplomat bukan Islam.
Selain itu, kuota pembelian akan dikuatkuasakan dengan akses ke kedai akan dihadkan kepada mereka yang mendaftar melalui aplikasi sahaja.
Pelanggan akan diminta menyimpan telefon mereka dalam kantung mudah alih khas semasa mereka melakukan imbasan untuk bir, wain dan minuman beralkohol lain.
Namun, beberapa penduduk Riyadh memberitahu AFP, mereka melihat perkembangan itu sebagai langkah pertama ke arah ketersediaan minuman keras yang lebih meluas.
Dakwa mereka, langkah itu secara dramatik akan membatalkan larangan penjualan minuman keras di seluruh negara, yang dilaksanakan sejak 1952.
Seorang ahli perniagaan Lubnan berkata, rancangan Arab Saudi itu mengejutkan penduduk dunia.
“Ia sebuah negara sedang membangun, berkembang dan menarik ramai bakat dan banyak pelaburan.
“Namun rancangan itu sangat sensitif kerana ia (arak) diharamkan dalam Islam, apatah lagi Arab Saudi negara terletaknya tempat suci umat Islam, Makkah dan Madinah,” katanya.
Seorang pemuda Arab berusia 30-an turut bimbang mengenai rancangan kerajaan yang bertentangan dengan budaya dan identiti mereka.
“Ini bukan kita. Mempunyai sesuatu yang ada di luar sana memberi kesan kepada budaya dan masyarakat kita,” katanya.
Perkara sama turut disokong rakannya.
“Saya lebih suka orang ramai terus ke luar negara untuk minum (arak) seperti yang dilakukan pada masa ini.
“Sungguh menakutkan mereka membenarkan perkara sebegitu masuk ke negara ini. Saya tidak gembira jika perkara ini dibenarkan,” kata individu itu. .
Di bawah agenda pembaharuan Wawasan 2030, pemerintah Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman, cuba menjadikan negara pengeksport minyak mentah terbesar dunia itu sebagai hab perniagaan, sukan dan pelancongan, yang boleh berkembang maju dalam era pascaminyak.
Pusat Komunikasi Antarabangsa kerajaan berkata, dasar baharu itu untuk mengekang perdagangan haram alkohol dan produk yang diterima delegasi diplomatik.
Sumber: Harian Metro