Melecur Tahap Empat, Tangan Kiri Faisal Halim Tiada Tindak Balas

0
62

Shah Alam: Kondisi kesihatan tonggak Harimau Malaya Faisal Halim semakin membimbangkan apabila dikatakan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta, di sini, semalam.

Situasi terbabit disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang memaklumkan keadaan Faisal boleh dikatakan semakin membimbangkan kesan daripada kelecuran tahap empat.

Malah, beliau yang juga Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut memaklumkan bahawa tangan kiri pemain sayap itu sukar untuk bergerak sekali gus menimbulkan persoalan masa depannya kelak.

“Seperti dimaklumkan bahawa sememangnya Faisal berada dalam keadaan kritikal dan kini hanya saya dan isterinya saja dibenarkan untuk melawat.

“Jika diikutkan apabila dia dihantar ke hospital pertama untuk menerima rawatan awal doktor melihatnya mungkin melecur tahap dua.

“Namun, selepas dipindahkan hospital dan rawatan susulan mendapati lecuran berada pada tahap empat.

“Sedih saya melihat keadaannya ketika ini, kerana dia ada beritahu bahawa terasa sakit seperti terbakar di dalam kulit dan mengerang kesakitan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan bahawa insiden membabitkan pemain kebangsaan itu yang cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Ia kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

Muhammad Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain berkenaan mengalami kecederaan.

Sementara itu, tinjauan Arena Metro di hospital swasta berkenaan mendapati keadaan tenang dan kelihatan beberapa individu dipercayai ahli keluarga Faisal yang menunggu untuk mendapatkan laporan terkini berkaitan keadaan pemain itu.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here