Mazda, Toyota Hentikan Pengeluaran Lima Model Kereta, Temui Amalan Penipuan Ujian Pensijilan

0
34
Foto: Berita Harian

TOKYO: Gergasi automotif Jepun, Toyota dan Mazda, menggantung pengeluaran lima model kereta semalam, berikutan penemuan amalan penipuan dalam ujian persijilan kebangsaan, susulan pendedahan skandal penipuan yang membabitkan lima pengeluar kenderaan utama Jepun.

Berikutan arahan Kementerian Pengangkutan Jepun untuk menghentikan penghantaran model yang terjejas, Toyota Motor Corporation menghentikan pengeluaran tiga model, termasuk Yaris Cross, di kilangnya di Wilayah Miyagi dan Iwate, dengan penggantungan dijangka sehingga 28 Jun ini, lapor Xinhua.

Sementara itu, Mazda Motors Corporation menghentikan pengeluaran dua model, termasuk MAZDA2, di kilangnya di Wilayah Hiroshima dan Yamaguchi.

Penggantungan itu berlaku selepas Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan mendedahkan bahawa Toyota, Honda Motor, Mazda, Yamaha Motor dan Suzuki Motor terbabit dalam amalan penipuan haram semasa permohonan persijilan pengeluaran besar-besaran mereka.

Dengan kesan gabungan yang besar terhadap rantaian bekalan kedua-dua syarikat, gangguan ini menimbulkan kebimbangan besar untuk ekonomi serantau, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana yang menjadi sebahagian penting dalam rangkaian bekalan, menurut laporan media tempatan.

Dianggarkan bahawa penggantungan pengeluaran itu menjejaskan lebih 1,000 pembekal untuk Toyota dan kira-kira 300 untuk Mazda.

Menekankan usaha untuk mengurangkan kesan ekonomi, Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi berkata, bahawa Kementerian Pengangkutan akan mempercepatkan ujian pengesahan pematuhan untuk meminimumkan kesan ekonomi akibat penghantaran yang terhenti.

Baik Toyota mahupun Mazda tidak menyatakan bila pengeluaran akan disambung semula untuk model yang terjejas. – BERNAMA-XINHUA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here