Mayat Penuntut Ditemukan Sudah Berbau Busuk Di Rumah Sewa

0
41
Foto: Islami.co

Kuala Lumpur: Mayat seorang penuntut kolej swasta ditemui di atas katil dan sudah berbau busuk di rumah sewanya di sebuah apartmen di Jalan Metro Pudu 2, di sini, semalam.

Mayat lelaki warga Yaman berusia 24 tahun berkenaan ditemui kira-kira jam 5 petang, semalam, selepas pihak polis menerima maklumat daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mayat berkenaan dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Proses bedah siasat terhadap mayat lelaki berkenaan akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.

“Setakat ini, kita mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika ditemui di Balai Polis Setiawangsa, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Aidi Ismail hadir pada Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa.

Mengulas mengenai kawalan keselamatan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ), malam ini, Allaudeen berkata, pihaknya berharap tiada insiden tidak diingini berlaku.

“Kami memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi sepanjang perlawanan itu berlangsung nanti.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengikuti arahan pihak berkuasa di lapangan bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seramai 1,400 anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kawalan keselamatan SNBJ yang akan berlangsung perlawanan akhir Piala Malaysia.

Selain perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Terengganu FC, turut berlangsung Program Setahun Bersama Madani’ yang bermula hari ini hingga Ahad ini di perkarangan SNBJ.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here