Mayat Mangsa Nahas Pesawat Terhempas, Terbenam Lebih 2 Meter Dalam Tanah

0
196

Klang: Polis mengesahkan juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar terkorban.

Mayat kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 30-an dan 40-an ditemui dalam kokpit pesawat yang terjunam lebih dua meter ke dalam tanah.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar berkata, pesawat milik syarikat penerbangan rekreasi dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 1.28 tengah hari, sebelum terhempas di kawasan Kampung Tok Muda, Kapar.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat kecemasan berhubung kejadian pada 1.45 tengah hari dan tiba di lokasi sekitar jam 2 petang.

“Sebanyak 45 peratus badan pesawat seberat 1,300 kilogram (kg) terbenam lebih dua meter ke dalam tanah.

“Polis bersama bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan lain sedang berusaha mengeluarkan dua mangsa yang kita percaya sudah terkorban,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Hussein berkata, dua mangsa itu yang difahamkan berasal dari Johor dan Pulau Pinang ditemui sekitar jam 2 petang di dalam kokpit.

“Ketika ini proses membawa keluar mayat sedang dilakukan dan ia dijangka mengambil masa selama tiga jam.

“Kita menghadapi kesukaran untuk menggali lebih dua meter menggunakan jengkaut sebab ia terbenam dan tidak boleh dikorek sebarangan,” katanya

Katanya, mayat kemudian akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat dan proses pengecaman oleh waris.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan, manakala polis akan membuka siasatan mengikut kertas inkuiri polis (KEP).

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here