SEMATAN – Tidak sedar air pasang menjadi punca seorang lelaki hilang dibawa arus, sebelum ditemui lemas di Kampung Terusan Jaya, di sini pada Ahad.
Mangsa, Mohamad Nazratul Kamil, 26, dikatakan sedang mencari siput ketika insiden tersebut berlaku.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimansyah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.50 petang, dan segera mengaktifkan sebuah jentera, ambulans dan bot dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu.
“Setiba di lokasi, pasukan dimaklumkan bahawa terdapat dua saksi yang melihat mangsa sedang membawa hasil siput, sebelum cuba berenang kembali ke daratan, namun hilang dibawa arus sekitar jam 2.10 petang.
Berdasarkan maklumat tersebut kata Hendery, pencarian awal dilakukan kawasan tebing sungai dan permukaan sungai, menggunakan bot bomba dan awam serta kapal nelayan.
Operasi katanya, kemudian ditangguhkan sekitar jam 6.35 petang.
Pun begitu mayat mangsa telah ditemui oleh penduduk kampung sekitar jam 1.49 pagi pada Isnin, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Mayat mangsa, ujarnya lagi, telah dibawa ke jeti menggunakan bot bomba sekitar jam 3 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sumber – Awani