SHAH ALAM, 7 Disember- Polis meminta bantuan kedutaan dan interpol bagi mengesan dua suspek yang disyaki terlibat dengan penemuan mayat wanita disimen di dalam kolah bilik air di sebuah rumah di Klang, baru-baru ini.
Dua individu itu masing-masing dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh yang dikenal pasti menyewa rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Cha Hoon Fong menerusi satu kenyataan memaklumkan setakat ini seramai 10 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut dan siasatan masih dijalankan dalam mengenal pasti individu-individu yang terlibat.
“Bantuan kedutaan dan Interpol juga dipohon bagi mengesan dua suspek lelaki warga asing yang telah dikenal pasti.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03- 33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,”katanya dalam kenyataan tersebut.
Jelas Cha, Unit Forensik Hospital Shah Alam (HSA) menegsahkan punca kematian seorang wanita diangarkan berusia 20 hingga 30an yang ditemui disimen tersebut adalah tekanan pada bahagian leher.
“Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Shah Alam pada Disember dan mendapati umur simati dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun serta punca kematian adalah ‘compression to the neck’.
“Pakar perubatan forensik tidak dapat memastikan jangka masa kematian kerana proses pereputan menjadi lambat bagi mayat yang berada dalam persekitaran sepertimana yang ditemui.
Katanya, setakat ini identiti simati masih belum dikenal pasti.
Terdahulu, seorang lelaki warga asing berumur 53 tahun telah ditangkap bagi membantu siasatan dan direman selama 7 hari iaitu sehingga 11 Disember.
Isnin lalu, media melaporkan penduduk Kampung Pendamar Fasa Satu, Pandamaran Klang, gempar dengan penemuan mayat wanita dipercayai warga asing, kira-kira pukul 9.30 malam.
Siasatan dijalankan polis selepas menerima laporan daripada pemilik rumah itu berkaitan terdapat mayat di kolah bilik air rumah sewa tersebut.
Mayat wanita itu ditemukan selepas anggota bomba bertindak memecahkan simen kolah berkenaan.