KANGAR – Mayat seorang bayi lelaki cukup sifat ditemui ditanam di belakang sebuah rumah di Taman Mutiara, di sini dalam kejadian pada Sabtu lalu.
Bayi malang itu ditemui kira-kira pukul 10.30 pagi oleh pengadu yang merupakan seorang guru lelaki selepas terhidu bau busuk dari belakang rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pengadu kemudian bertindak mencangkul lokasi bau itu lalu menemui satu mayat disyaki bayi berbungkus kain putih dalam keadaan berulat.
“Pengadu itu juga telah hadir ke balai polis bagi membuat laporan berhubung penemuan itu untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Berikutan itu, Yusharifuddin berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati bayi itu tertanam di dalam tanah yang berkedalaman 12.7 sentimeter (cm) di kawasan terbuka dan tidak berpagar.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati jantina bayi tersebut adalah lelaki dan cukup sifat selain panjang ukurannya adalah 46 sentimeter yang masih bertali pusat.
Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, polis juga berjaya mengesan suspek dipercayai terlibat dalam kes itu yang merupakan seorang pembantu rumah dan bekerja di salah sebuah rumah sekitar taman berkenan selain mengaku menanam bayi tersebut selepas mendapati dia tidak lagi bernyawa.
Sumber: Kosmo