MASwings Jadi Milik Sarawak Tahun Depan

0
54
Foto: Pelancongan Kini

KUCHING, 21 Disember- Proses akhir pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak dijangka dimuktamadkan pada suku kedua atau ketiga tahun depan.

Mengesahkan perkembangan terbaharu itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata buat waktu ini, proses penilaian wajar terhadap syarikat itu sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bersama Kementerian Pengangkutan Persekutuan dan Khazanah Nasional Berhad.

“Kementerian Pelancongan ditugaskan untuk melihat potensi pasaran. Bagi saya projek pengambilalihan adalah seperti jambatan untuk kita.

“Sarawak tiada pilihan lain, kita tidak boleh suruh orang berenang sebab kita pulau,” katanya kepada pemberita.

Pada 23 November lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan negeri, Datuk Dr Jerip Susil memaklumkan kerajaan negeri Sarawak sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASwings Sdn Bhd sebagai persediaan untuk pengambilalihan.

Katanya, rundingan juga sedang dijalankan dengan Malaysia Aviation Group (MAG) dan Khazanah Nasional Bhd untuk membeli saham dalam MASWings.

Pada 27 Oktober, syarikat milik Sarawak Hornbill Skyways Sdn Bhd dan MAG menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepatkan pembelian saham dalam MASWings bagi pengurusan perkhidmatan udara luar bandar.

Ia dilaporkan bakal membuka jalan kepada perbincangan terperinci antara kedua-dua pihak bagi memastikan negeri itu memperoleh pegangan majoriti dalam syarikat penerbangan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here