KUALA LUMPUR: Pakej gaji bukan lagi sebab utama pekerja di Malaysia untuk memilih kekal dalam syarikat, demikian menurut Tinjauan Gaji Hays Asia 2024.
Tinjauan ke atas 2,014 profesional berkemahiran dan 832 majikan di Malaysia menyenaraikan lima faktor utama dengan tiga sebab teratas bukannya disebabkan oleh pakej gaji yang ditawarkan.
Menurut Hays, 38.3 peratus responden memiliki sebab lokasi tempat bekerja atau pilihan bekerja fleksibel sebagai sebab utama untuk kekal bersama majikan atau organisasi.
Selain itu, keseimbangan kehidupan dan pekerjaan juga menjadi pilihan utama untuk kekal dengan syarikat sedia ada (35.8 peratus).
Malah, Hays mendedahkan hubungan baik dengan majikan atau rakan sekerja (34.6 peratus) juga antara tiga sebab teratas untuk terus kekal.
Faktor bersandarkan wang dan manfaat lain berada pada kedudukan keempat dan kelima apabila 30.8 peratus responden memilih pakej gaji, manakala bonus, kenaikan pangkat atau pertukaran dalaman dipilih sebagai faktor terakhir dengan 21.8 peratus responden.
“Apabila membabitkan pekerja sedia ada, pilihan bekerja yang fleksibel telah dipilih sebulat suara sebagai sebab paling penting kepada keputusan itu, yang dinilai melebihi pertimbangan gaji.
“Antara pekerja yang komited, keseimbangan kerja-kehidupan yang baik dan pengalaman yang sesuai dengan pengurus dan rakan sekerja masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga,” kata tinjauan itu.
Pengarah Urusan Hays Asia, Marc Burrage, berkata persekitaran kerja yang sihat, nilai positif dan peranan yang cukup mencabar akan sangat membantu ke arah memenangi hati pekerja di Malaysia.
“Majikan perlu mengadakan perbincangan dengan tenaga kerja mereka, dan pekerja perlu meneliti bagaimana mereka boleh meningkatkan nilai dalam tempoh gangguan ini.
“Kerjasama adalah kunci kepada kelangsungan hidup, dan kedua-dua pihak perlu menghadapi cabaran ini dengan fikiran terbuka dan bersedia untuk menyesuaikan diri,” katanya.
Hays, peneraju global dalam penyelesaian tenaga kerja dan pengambilan pakar mengeluarkan Tinjauan Gaji Hays Asia 2024 yang memberikan gambaran keseluruhan gaji dan sektor berdasarkan data sebenar serta tinjauan profesional mahir di seluruh Malaysia, China, Hong Kong, Jepun, Singapura dan Thailand.
Tinjauan yang dilaksanakan sepanjang enam minggu terakhir tahun lalu itu juga mendedahkan pekerja mencari peluang baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Responden menyenaraikan tiga sebab utama mereka mahu meninggalkan tempat kerja semasa dengan faktor utama ialah keinginan untuk mencari cabaran baharu, yang mengatasi pakej gaji rendah sebagai sebab utama.
Tinjauan serupa yang dijalankan pada 2022 mengenal pasti pakej gaji rendah sebagai sebab utama pekerja memilih untuk meninggalkan pekerjaan sedia ada.
Faktor ketiga ialah kekurangan kemajuan dalam kerjaya menyaksikan pekerja mahu meninggalkan organisasi sedia ada.
Sumber: Berita Harian