BUENOS AIRES: Jurulatih Kanada, Jesse Marsch menggesa pasukan supaya tidak gentar apabila berdepan Argentina yang disertai Lionel Messi pada perlawanan pembukaan kempen Copa America, esok.
Bekas pengendali RB Leipzig dan Leeds United itu bagaimanapun sedar betapa Kanada mungkin berdepan kesukaran daripada impak pemenang lapan kali Ballon d’Or, Messi yang dijangka diturunkan Argentina bagi mempertahankan gelaran diraih mereka.
“Sebuah pasukan yang tersusun dan berdisiplin akan menjadi penting. Kami banyak berbincang mengenainya dan pasukan agresif yang bermain tanpa rasa takut, (maka) pasukan itu akan melepasi perlawanan,” kata Marsch.
“Cabaran dengan Messi bukan hanya mengenai kualiti dimilikinya tetapi juga kemampuannya untuk bergerak dalam permainan. Dia tidak berada di tempat sama pada setiap masa.
“Dia sangat bijak untuk turun ke bawah pada masa yang tepat. Apa yang jelas, setiap kali dia menguasai bola, pasti dia mampu mencipta kombinasi dan memberikan keyakinan, ketenangan serta kualiti untuk pasukan dan ia sesuatu yang sangat unik, bukan?.
“Inilah yang menjadikannya pemain terbaik.”
Pengendali berusia 50 tahun kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu mula mengemudi pasukan pada bulan lalu selepas John Herdman meninggalkan skuad pada Ogos.
Kanada hanya menyertai dua perlawanan persahabatan sebagai persiapan ke Copa America yang menyaksikan mereka tewas 4-0 di tangan Belanda dan terikat 0-0 bersama Perancis.
“Saya pernah bermain menentangnya (Messi), melatih pasukan lawannya beberapa kali dan memperoleh beberapa kejayaan, tetapi dia sentiasa berupaya menemui cara untuk mencipta sesuatu yang berbeza kerana kualiti dimilikinya sangat menakjubkan.
“Jadi itu satu cabaran buat kami,” kata Marsch.
Kanada turut dijadual bertemu Peru dan Chile dalam saingan Kumpulan A. – REUTERS
Sumber: Berita Harian