Maritim Malaysia Kuala Kedah Rampas 670 Set Bubu Naga

0
132
Foto: Bernama

ALOR SETAR, 20 Disember- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 670 set bubu naga di beberapa lokasi di perairan Tanjung Dawai hingga Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak menerusi satu kenytaan hari ini berkata rampasan berkenaan dilakukan dalam operasi khas selama dua hari pada Isnin dan semalam.

Beliau berkata, kesemua set bubu naga yang dirampas dianggar bernilai RM80,000.

“Semasa rondaan di perairan berkenaan, Maritim Malaysia menemukan pelbagai taktik digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa termasuk mengubah lokasi semasa pemasangan bubu.

“Pelampung penanda yang mengelirukan turut digunakan seperti botol, bendera, pancang kayu, pelampung kecil, gabus dan tong minyak,” katanya.

Jelas Noor Azreyanti, penggunaan beberapa alatan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) tidak berlesen dan tidak diluluskan turut dikesan dipasang pada bubu berkenaan.

Katanya, kesemua bubu naga yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah.

Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti melanggar undang-undang dan kami mengalu-alukan sebarang aduan serta melaporkan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here