KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan pemansuhan dua tol masing-masing di Gombak dan Karak.
Menurut beliau, pemansuhan sekurang-kurangnya dua tol berkenaan diyakini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
Ujar beliau, langkah itu dengan mengambil kira kewujudan empat tol terpaksa dilalui pengguna LPT menuju Pantai Timur iaitu Gombak, Bentong dan Karak serta di laluan keluar.
“LPT ada empat plaza tol terpaksa pengguna berhenti, sedangkan untuk ringankan beban pengguna sepatutnya guna dua (sahaja) kaedah masuk dan keluar.
“Dua plaza tol di LPT patut dihapuskan iaitu Gombak dan Karak tak perlu diadakan. Melambatkan dan menyebabkan kesesakan,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim malah bersetuju dengan pandangan supaya semua tol di negara ini dimansuhkan seperti yang pernah dijanjikan pihak yang menerajui kerajaan sedia ada.
Kata beliau, Tol Gombak antara tol yang paling awal di Malaysia dan sepatutnya dimansuhkan terlebih dahulu.
Selain itu, beliau membangkitkan tentang jumlah pengecas kenderaan elektrik (EV) di negara ini masih belum mencukupi berbanding unjuran yang dibuat sebelum ini.
“Kalau dilihat unjuran kerajaan mengenai stesen pengecas dan penggunaan EV dimaklumkan bahawa sehingga Ogos 2023 terdapat hanya 1,246 stesen pengecas di lebuh raya.
“Saya dapat aduan di LPT khususnya sangat kurang (stesen pengecas) di lebuh raya tersebut,” katanya.
Beliau turut membangkitkan tentang kadar penggunaan pengangkutan awam yang masih rendah dan menggesa kerajaan mencari jalan untuk mempertingkatkannya.
Jelas beliau, langkah tersebut dapat mengurangkan upaya pelepasan karbon dan gas rumah hijau (GHG) – KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo