KUALA LUMPUR, 18 Disember- Malaysia akan menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6, tahun depan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata ia akan menjadi satu daripada acara penting negara dan mengalu-alukan semua peminat e-sukan dunia untuk datang ke Malaysia.
Adam membuat pengumuman itu ketika berucap di Final Kejohanan Dunia MLBB M5 2023 di Manila, Filipina.
“Saya teruja untuk mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 pada 2024.
“Ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah untuk kejohanan ini, susulan kejayaan menjadi tuan rumah M1 pada 2019.
“Pencapaian ini bukan hanya untuk seorang individu tetapi untuk semua rakyat Malaysia, kita berjaya. M6 akan menjadi peristiwa diingati di dalam negara dan kami mengalu-alukan pemain, peminat dan penggemar e-sukan dari seluruh dunia untuk mengalami layanan baik tiada tandingan yang diberikan rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Kejohanan Dunia M5 di Manila yang berakhir semalam menyaksikan wakil negara, Team SMG dan Homebois gagal melepasi peringkat kumpulan.
Sejumlah 16 pasukan bertanding dalam kejohanan yang bermula 2 Disember itu.