RIYADH, 21 Oktober- Malaysia mengambil peluang membincangkan Konflik Palestin-Israel dengan Liga Muslim Sedunia malam tadi.
Perbincangan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir dibuat bersama Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia Sheikh Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa semasa mengunjungi pejabat liga berkenaan di Riyadh.
Perbincangan tertutup mereka antaranya melibatkan isu serangan terhadap Palestin dan kesepakatan yang harus diambil pimpinan negara-negara Islam dan rangkaian ulama sedunia berhubung konflik itu.
Selain itu turut dibincangkan berkaitan isu dakwah dan pendidikan Islam bersempena Muzakarah Ulama’ Antarabangsa yang akan dianjurkan di Malaysia kelak.
Terdahulu, ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Diaspora Malaysia di Arab Saudi, Anwar menjelaskan ketegasan Malaysia memperjuangkan isu penduduk Palestin yang berterusan dizalimi Israel bukanlah kerana ia mahu menjadi jaguh sebaliknya dilakukan atas dasar tanggungjawab membela umat Islam.
Beliau berkata perjuangan itu perlu dilaksanakan kerana penduduk Palestin di Gaza telah ditindas sekian lama sehingga menjangkau lebih tujuh dekad.
“Umat Islam dicabar, diuji…sebab itu kita mesti menunjukkan ketegasan kita,” katanya.