Kuala Lumpur: Malaysia terus memantau rapat konflik Israel-Palestin, terutama jika ia berpotensi untuk turut menular ke negara-negara lain, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz. Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata setakat ini dari segi perdagangan, impak konflik di Timur Tengah itu hanya kecil ke atas Malaysia.
“Kita akan terus memantau untuk melihat sekiranya konflik ini akan berleluasa dan menular ke negara-negara lain.
“Pada masa sama, kita juga membuat persiapan bagi (menghadapi) sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bloomberg News ketika diminta mengulas sama ada Malaysia memantau konflik berkenaan.
Terdahulu, Tengku Zafrul berkongsi mengenai Belanjawan 2024 Malaysia, terutama berkaitan usaha kerajaan dalam memacu aspek tanggungjawab fiskal selain langkah untuk menarik pelaburan berkualiti ke negara ini.
Sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan RM10 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang baru dilancarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut menggesa syarikat serta orang ramai untuk turut serta dalam usaha berkenaan atas nama demi keadilan dan kemanusiaan.
“Perkembangan mutakhir di Semenanjung Gaza kini bertambah gawat ketika Israel telah mengepung warga Gaza dan secara ganas serta biadap ingin menghalau mereka ke selatan semenanjung tersebut,” kata Perdana Menteri pada Jumaat lepas.
Sumber: Harian Metro