Malaysia Dijangka Menjadi Negara Tua Menjelang 2043 – KWSP

0
63
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043 di mana 14 peratus daripada penduduk adalah terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.

Ia susulan kesan daripada peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran.

Susulan itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhasrat untuk menumpukan perhatian kepada fenomena penuaan penduduk yang sedang pesat berlaku di seluruh dunia.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, menjelang 2060, Malaysia dijangkakan akan mempunyai tiga orang dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas berbanding 10 orang dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas pada 2020.

Katanya, walaupun peningkatan jangka hayat adalah salah satu penanda kemajuan sesebuah negara, perubahan demografi ini juga akan menimbulkan cabaran kepada masyarakat Malaysia, khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kemudahan penjagaan warga emas dan jaminan pendapatan persaraan.

“Antara cabaran utama adalah perubahan landskap pekerjaan di negara ini yang semakin menjurus ke arah pekerjaan tidak formal seperti pekerja gig dan golongan bekerja sendiri.

“Segmen yang semakin berkembang ini adalah terdiri daripada hampir empat juta pekerja dan berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk jatuh ke dalam kemiskinan pada usia tua akibat daripada ketiadaan liputan program pencen dan persaraan rasmi,” katanya ketika Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-11 2024 (ISWC 2024) di sini hari ini.

Ahmad Badri berkata, bagi menangani cabaran itu, kerajaan telah membantu dan meningkatkan simpanan persaraan sektor tidak formal melalui program i-Saraan dengan menggalakkan caruman sukarela kepada KWSP.

Beliau berkata, selaras dengan matlamat Ekonomi MADANI untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada semua, KWSP sedang meneroka inovasi yang boleh diaplikasikan ke atas skim KWSP bagi memberikan perlindungan persaraan yang lebih baik kepada sektor tidak formal.

Salah satu langkah terkini katanya adalah penstrukturan semula akaun KWSP pada fasa pengumpulan simpanan yang membabitkan semua ahli bawah umur 55 tahun yang memberikan fleksibiliti kepada semua ahli.

“Pendekatan ini membolehkan mereka menyimpan untuk persaraan dan pada masa yang sama, mempunyai akses kepada simpanan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Mengenai ISWC 2024 pula, Ahmad Badri berkata, persidangan itu adalah satu langkah untuk mewujudkan sistem perlindungan sosial demi kesejahteraan rakyat Malaysia yang lebih baik selaras dengan peralihan Malaysia ke arah status negara tua.

Beliau berkata, keperluan untuk membina sistem perlindungan sosial yang komprehensif dan mampan kini menjadi lebih mendesak dengan pelaburan dalam sistem perlindungan sosial adalah penting dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan tiada yang ketinggalan.

Pada tahun ini katanya, ISWC 2024 memberi tumpuan kepada pelbagai isu dan cabaran berkaitan penuaan penduduk dan persaraan, khususnya dalam menjamin pendapatan semasa usia tua.

“KWSP memahami bahawa pendekatan yang holistik adalah penting untuk memenuhi keperluan yang berbeza setiap lapisan masyarakat. Pembaharuan dan penambahbaikan yang dijalankan bukan sahaja mampu mengukuhkan sistem perlindungan sosial yang ada, tetapi juga dapat memastikan keterangkuman dan keselamatan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here