Malaysia Berpesta Gol Lagi, Belasah Oman 12-1

0
37
Foto: Buletin TV3

KUALA LUMPUR: Selepas membelasah Vietnam 25-0 pada aksi pembukaan Kumpulan A Piala Asia 2024, skuad hoki dalam dewan wanita kebangsaan terus mempamerkan taring apabila membenam Oman 12-1 dalam aksi kedua kumpulan di Chonburi, Thailand hari ini.

Dua pemain negara iaitu penyerang Siti Nur Arfah Mohd Nor dan tonggak tengah Raja Norsharina Raja Shahbuddin mencuri tumpuan apabila kedua-duanya menyumbat hatrik bagi membantu skuad negara berada di landasan terbaik mara ke separuh akhir.

Siti Nur Arfah membuka tirai jaringan skuad negara pada minit keenam, 11 dan 27 manakala Raja Norsharina pula meledak jaringan pada minit ke-18, 29 dan 35 pada saingan berlangsung di Thailand National Sport University (TNSU) Kampus Chonburi.

Pemain pertahanan Fazilla Sylvester Silin pula meledak dua gol (12’ dan 34’) manakala jaringan lain disumbangkan Juliani Mohamad Din (8’) disusuli Nuraslinda Said (12’), Nur Atira Mohamad Ismail (15’) dan Ellya Syahirah Ellias (24’), sementara gol saguhati Oman dijaringkan Maroa Al Saidi (22’).

Malaysia akan meneruskan saingan kumpulan menentang Kazakhstan dan Iran esok.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Sementara itu, ketua jurulatih Mohd Rodzhanizam Mat Radzi menyifatkan dua kemenangan berturut-turut dengan jaringan yang besar sebagai satu keputusan positif, namun beliau berharap anak buahnya dapat memperbaiki ketajaman di bahagian gol terutamanya pada pukulan sudut penalti.

“Kita telah melepaskan banyak peluang menjaringkan gol pada perlawanan petang ini. Pemain perlu memperbaiki dari segi jaringan dan pukulan sudut penalti.

“Jaringan adalah penting untuk setiap perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia. – BERNAMA

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here