KUALA LUMPUR, 05 FEBRUARI 2024 – Baru-baru ini, YB Adly Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia telah mewakili Malaysia ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Mesyuarat Kedua Menteri-Menteri Pertahanan Negara Ahli Islamic Military Counter Terrorism Coalition (IMCTC) pada 3 Februari 2024.
Mesyuarat yang dihadiri oleh 42 negara itu membawa agenda utama dengan memfokuskan isu ancaman ekstremisme dan keganasan di peringkat global melalui empat domain utama iaitu menyekat penyebaran ideologi, komunikasi, menyekat pembiayaan pengganas dan kerjasama ketenteraan.
Malaysia yang sedia maklum dengan isu perbincangan telah menempatkan dua orang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Counter-Terrorism Centre (CTC) IMCTC sejak tahun 2023 lagi.
Antara inisiatif yang telah diketengahkan dan mencapai kata sepakat sepenuhnya dari negara-negara ahli IMCTC adalah pemberian dana, latihan yang maksima, kepakaran dan kemahiran yang telah diperakui.
Dalam masa yang sama, Malaysia telah mengutarakan inisiatif Program Pembangunan Literasi Tekonologi Maklumat dan Ketahanan Digital dalam usaha membangun, mencipta, menghasilkan dan menyiarkan kandungan media berkaitan keganasan dan ekstremisme dalam kalangan belia negara anggota IMCTC, yang juga disambut baik oleh Mesyuarat Kedua IMCTC.
Sementara itu, Kerajaan Arab Saudi juga menjemput Malaysia untuk berkunjung ke World Defense Show (WDS) yang menghimpunkan pelbagai kelengkapan teknologi terkini merangkumi darat, udara, laut dan siber yang sedang berlangsung dari 4 hingga 8 Februari ini.
YB Timbalan Menteri Pertahanan juga berkesempatan untuk bertemu dengan pemain-pemain utama industri pertahanan antarabangsa bagi melihat perkembangan semasa negara luar.
Kehadiran delegasi Kementerian Pertahanan ke WDS 2024 juga telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempromosikan Pameran Defence Services Asia 2024 & National Security Asia 2024 (DSA 2024 & NATSEC Asia 2024) yang akan diadakan mulai 6 hingga 9 Mei 2024 di Kuala Lumpur.
Sumber: Mindef//Medialah