KUALA LUMPUR, 22 November- Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengingatkan para majikan supaya tidak mengambil kesempatan memberhentikan pekerja wanita yang mengambil cuti bersalin atau cuti sakit disebabkan kehamilan.
Timbalan Menteri, Datuk Mustapha Sakmud berkata jika didapati ada majikan yang tidak mematuhi peraturan berkenaan, mereka boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Kerja 1955.
“Bawah Seksyen 41 A (1) Akta Kerja 1955, majikan tidak boleh memberi notis penamatan kerja atau memberhentikan pekerja wanita yang hamil atau sakit kerana kehamilan kecuali atas beberapa keadaan iaitu akibat salah laku (pekerja) dan majikan menutup operasi.
“Majikan boleh didakwa serta dikompaun jika gagal mematuhi peraturan itu,” katanya dalam sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Mustapha memaklumkan KSM menerima sebanyak 44 kes aduan berhubung peruntukan cuti bersalin setakat 31 Oktober lalu.
Daripada itu katanya, 28 aduan adalah berasas dan majikan berkenaan telah diberi peringatan selain tindakan pembetulan telah diambil manakala baki 16 aduan tidak berasas.
Akta Kerja 1955 memperuntukkan tempoh cuti bersalin selama 98 hari selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai Konvensyen Perlindungan Materniti 2000.
Ia menetapkan tempoh cuti tidak kurang daripada 14 minggu atau 98 hari.
Tambah Mustapha, KSM dengan agensinya telah melaksanakan 23,279 pemeriksaan berkanun di tempat kerja.
Mustapha menjelaskan perkara itu semasa menjawab soalan wakil Ipoh Barat, M.Kulasegaran mengenai langkah kerajaan bagi memastikan semua majikan termasuk majikan daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (SME) mematuhi polisi cuti bersalin yang dilanjutkan kepada 98 hari mulai 1 Januari 2023 dan bilangan majikan yang gagal mematuhi peraturan itu.