Lima ‘Ulat’ Parkir Haram Ditahan Di Melaka

0
141
Foto: Berita Harian

MELAKA: Lima ‘ulat parkir’ yang membuat kutipan parkir tanpa lesen di tapak letak kereta awam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ditahan dalam operasi khas di Kampung Hulu di sini, malam tadi.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, berkata tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia 44 hingga 47 tahun itu ditahan dalam operasi membabitkan polis, anggota penguat kuasa MBMB dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bermula jam 9 malam tadi.

Beliau yang ditemui pemberita selepas operasi berkenaan berkata, pihak berkuasa turut merampas wang tunai RM75 dipercayai hasil kutipan parkir secara haram.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan ulat parkir berkenaan mula aktif mengutip bayaran parkir pada harga antara RM5 hingga RM10 bagi sebuah kereta sejak sebulan lalu dan mereka dipercayai mampu meraih kutipan sehingga RM300 satu malam.

“Dalam operasi yang dijalankan, anggota penguat kuasa melakukan penyamaran dan semua individu terbabit sedang menjaga kawasan parkir berkenaan dan mengutip bayaran daripada orang awam,” katanya.

Menurutnya, kawasan parkir awam MBMB itu hanya mengenakan bayaran parkir kenderaan sehingga jam 6 petang, namun kumpulan ulat parkir terbabit kemudian mengambil kesempatan membuat kutipan secara haram.

Shadan berkata, ujian saringan air kencing mendapati dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan itu positif dadah. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here