Monday, December 2, 2024
HomeBERITALima Pegawai Kadet UPNM Dipecat, Dikenakan Bayaran Ganti Rugi RM144,648

Lima Pegawai Kadet UPNM Dipecat, Dikenakan Bayaran Ganti Rugi RM144,648

PETALING JAYA – Seramai lima orang pegawai kadet (PK) Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam kes penganiayaan terhadap pelatih lain dibatalkan pelantikannya dan diberhentikan kerja daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua mereka dituntut membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.

Katanya, tindakan tersebut tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara.

“Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang semalam meluluskan syor ALK terhadap lima orang PK ALK, UPNM yang terbabit dalam tiga kes penganiayaan terhadap pegawai kadet lain.

“Ia melibatkan tiga kes berasingan dan yang pertama terhadap PK Muhammad Salman Mohd Saiful Surash melibatkan pelakunya, PK Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan.

“Kes penganiayaan melibatkan tekapan seterika ke dada mangsa oleh pelaku telah dikesan jurulatih bertugas semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober lalu,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, satu siasatan dijalankan dan mendapati PK Amirul Iskandar, pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021) telah melakukan penganiayaan fizikal terhadap mangsa.

“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM44,600.20.

“Pelaku juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November lalu dan prosiding masih berjalan,” jelasnya.

Bagi kes kedua, Mohamed Khaled berkata, penganiayaan terhadap PK Alief Ahsreihan Ahslemy yang didedahkan oleh seorang pensyarah di UPNM.

Menurut Mohamed Khaled, pihak atasan telah mengarahkan untuk satu siasatan segera dijalankan melibatkan pelaku pertama, PK Izzat Izuddin Mohammad Arif (pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan (Pengambilan 2021).

“Pelaku tersebut didapati telah mengenakan hukuman pembetulan (corrective punishment) terhadap mangsa, bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan di bawah Perintah Tetap PK ALK.

“Pelaku kedua, PK Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan sebagaimana yang diarahkan oleh Pelaku pertama, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Keselamatan Komputer) (Pengambilan 2023) itu telah melakukan tindakan salah laku secara fizikal serta mengarahkan mangsa untuk melakukan kerja-kerja peribadi,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pelaku ketiga, PK Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Pengambilan 2021) telah melakukan tindakan salah laku secara fizikal dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa.

“Ketiga-ketiga pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan Malaysia sejumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20.

“Bagi kes ketiga melibatkan penganiayaan terhadap PK Yeong Kian Rui pula melibatkan pelaku, PK Ammar Hafiy Muhammad Habib dalam kes penganiayaan yang melibatkan kecederaan fizikal telah dikenal pasti setelah jurulatih merasa curiga ketika mangsa meminta untuk mendapatkan rawatan perubatan.

“Siasatan lanjut mendapati Ammar Hafiy, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengambilan 2022) telah melakukan tindakan salah laku secara fizikal yang menyebabkan kecederaan ‘soft tissue injury over lower back secondary to trauma’ kepada mangsa,” ujarnya.

Jelasnya, pelaku terbabit dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi RM32,115.95.

“Saya ingin menegaskan Kementerian Pertahanan sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambah baik mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian penganiayaan berulang.

“Kementerian Pertahanan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras,” tegasnya.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Fattah Amin Doakan Mangsa Banjir Di Tanah Suci

0
PETALING JAYA – Kesibukan melakukan ibadah umrah tidak membataskan pelakon Fattah Amin untuk menitipkan doa buat mangsa banjir di tanah air. Fattah atau nama sebenarnya...

CATEGORIES